Continue to Netlog

more seconds
pureguy63's profile page

pureguy63

male - 51 years
3 754 visitors

Blog / PERHIASAN YANG DILARANG DALAM ISLAM

Tuesday, 8 July 2008 at 18:34

[left] PERHIASAN YANG DILARANG DALAM ISLAM

Perhiasan dalam bahasa Arab disebut az-zinah, iaitu sesuatu yang dapat memperindah sesuatu yang lain, barang yang dipakai untuk berhias.

Dalam al-Qur’an terdapat perkataan az-zinah (perhiasan), antaranya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.”

(Surah al-Hijr, ayat 16)

Hukum memakai perhaisan

Pada dasarnya perhiasan dalam erti kata mempercantik diri dan selain diri agar orang lain merasa senang memandang adalah diharuskan.

Perhiasan itu selama mana ianya tidak bertentangan dan berlawanan dengan syara‘ adalah sangat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Sebagai contoh, Allah memerintahkan agar manusia memakai perhiasan pada setiap kali pergi ke masjid, firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-‘Araf, ayat 31)

Perhiasan itu fungsinya bukan setakat untuk memperindah dan mencantikkan tubuh badan dan sesuatu tempat saja, seperti dinding-dinding dan ruang-ruang tertentu di dalam rumah, di masjid dan sebagainya, tetapi juga fungsinya menjadi alat dan bahan untuk kegunaan suatu tujuan, sama ada ianya digunakan kerana ada keperluan, seperti untuk perubatan, ataupun digunakan tanpa ada keperluan, seperti pinggan dan cawan yang diperbuat daripada perak atau emas digunakan untuk makan dan minum kerana semata-mata menunjukkan gaya kehidupan yang mewah.

Namun begitu, bukan semua jenis barang-barang perhiasan itu diharuskan untuk dijadikan bahan kegunaan dan hiasan diri dan tempat. Terdapat garis panduan hukum syara‘ yang menentukan bahan-bahan perhiasan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan dan dipakai, baik bagi laki-laki mahupun perempuan

Berikut adalah beberapa contoh mengenai perhiasan yang dibenarkan dan yang dilarang di dalam Islam:

1) Barang-Barang Kemas Daripada Emas Dan Perak

(a) Barang-barang kemas daripada emas.

Segala perhiasan seperti cincin, anting-anting, kalung, gelang dan seumpamanya yang diperbuat daripada emas adalah harus dipakai oleh perempuan, tetapi haram bagi kaum lelaki.

Namun begitu, hukum harus berhias diri dengan emas bagi kaum perempuan itu tidaklah bersifat mutlak, tetapi hendaklah dibatasi pada had yang tertentu. Islam membatasi penggunaan atau pemakaian yang diharuskan itu dengan dua batasan, iaitu; tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah.

Dalam hal ini tersebut dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Makanlah kamu dan bersedekahlah serta berpakaianlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah.”

(Hadis riwayat An-Nasai’e)

Larangan pemakaian secara berlebihan itu adalah disebabkan hal itu boleh menggambarkan adanya rasa sombong mempamerkan kekayaan atau menunjuk-nunjuk. Sikap sombong mempamerkan kekayaan atau menunjuk-nunjuk tidak disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bahkan boleh membawa kepada haram. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

(Surah An-Nisaa’, ayat 36)

Menurut ulama dalam mazhab Syafi‘e, berlebihan yang dilarang dalam konteks ini ialah apa yang dikatakan terlalu berlebihan atau berlebihan yang melampau , seperti seorang perempuan memakai sepasang gelang kaki yang berat timbangannya dua ratus misqal (bersamaan dengan 850 gram mengikut timbangan pada zaman sekarang), kerana yang demikian itu tidak lagi dikira sebagai berhias dan tidak lagi dipandang sebagai indah, bahkan akan dipandang jelik.

Akan tetapi berlebihan yang sedikit tidaklah mengapa, namun begitu hukumnya adalah makruh.

Oleh itu, ukuran bagi sikap berlebihan yang melampau itu dalam konteks ini ialah apabila seorang wanita itu memakai barang perhiasannya sehingga tidak lagi dipandang indah, bahkan dipandang jelik, maka itu dikatakan terlalu berlebihan. (Mughni al-Muhtaj 1/393, I ‘anah at-Talibin 2/181)

(:) Barang-barang kemas daripada emas suasa

Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.

Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum laki-laki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur). Sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu. (Tuhfah 1/118-119, Al-Raniri, Sirat al-Mustaqim m.s. 25, Fatwa siri 4/86)

Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri di dalam kitabnya Sirat al-Mustaqim menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa…..”(M.s. 25)

Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang lak-laki memakai rantai leher, gelang tangan, cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:

“Haram di atas laki-laki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa. Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhaj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”

Kata al-Imam Ibnu Hajar lepas matn al-Minhaj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”

Berkata al-Imam Ibnu Hajar, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.

Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”

Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.” (Fatwa siri 4/86)

(c) Barang-barang kemas daripada perak.

Harus bagi perempuan memakai cincin, gelang, rantai, loket, anting-anting yang diperbuat daripada perak. Akan tetapi, barang-barang kemas seperti itu adalah dilarang bagi kaum laki-laki memakainya kecuali cincin.

Tidak dilarang bagi laki-laki memakai cincin yang diperbuat daripada perak, bahkan hukumnya adalah sunat, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam memakai cincin yang diperbuat daripada perak.

Kadar pemakaian perak yang diharuskan bagi perempuan adalah sebagaimana kadar pemakaian emas yang diharuskan bagi mereka.

Sementara bagi laki-laki, ukuran kadarnya ialah tidak melebihi daripada pandangan adat kebiasaan atau ‘urf. Dalam erti kata yang lain, jika pada pandangan adat kebiasaan pemakaiannya itu adalah banyak, maka itulah yang dilarang. Sebaliknya, jika menurut pandangan adat kebiasaan pemakaiannya itu tidak dikatakan sebagai berlebihan, maka ianya diharuskan. (Al-Majumu‘ 4/331, Mughni al-Muhtaj 1/392)

(2) Bejana Emas Dan Perak.

Para ulama fiqh telah sepakat menetapkan bahawa haram hukumnya bagi lelaki dan perempuan memakai atau menggunakan bejana yang diperbuat daripada emas dan perak seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu dan cawan. Termasuk maksud bejana itu juga pencelak mata, tempat pencelak mata, pencungkil gigi dan seumpamanya. Penggunaan yang dilarang itu tidak kira sama ada bagi tujuan sebagai alat untuk makan dan minum, tempat menyimpan ataupun semata-mata hanya untuk perhiasan tanpa digunakan.

Dasar ketetapan hukum haram memakai atau menggunakan barang-barang ini disandarkan kepada berbagai-bagai sumber hadis, antaranya sepertimana yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang minum (menggunakan) pada bejana daripada emas atau perak, maka dia hanya akan menggelegakkan di dalam perutnya api daripada neraka Jahannam.”

(Hadis riwayat Muslim)

Termasuk juga yang diharamkan itu, memakai bejana yang di disadur dengan emas dan perak.

Namun begitu, tidak mengapa kalau perak dijadikan sebagai pematri atau penampal bejana yang pecah atau berlubang, jika tampalan itu kecil kerana keperluan atau hajat.

(3) Memakai Sutera

Sutera ialah benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat iaitu ulat sutera.

Sutera hanya diharuskan bagi kaum perempuan sahaja. Sementara bagi kaum laki-laki, para ulama fiqh bersepakat mengatakan bahawa, memakai sutera bagi laki-laki adalah haram. Larangan memakai sutera bagi laki-laki itu meliputi sama ada untuk tujuan pakaian seperti baju, kain sarung, tali leher dan sebagainya, ataupun untuk tujuan selain daripada pakaian, iaitu seperti hamparan permaidani, bantal dan lain-lain.

Perkara ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Huzaifah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam melarang kami daripada minum dengan menggunakan bejana emas dan perak, menggunakannya untuk makan dan (melarang kami) daripada memakai sutera, pakaian yang ditenun daripada sutera dan (melarang kami) daripada duduk di atasnya”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sutera yang dilarang bagi kaum laki-laki itu ialah sutera yang tidak bercampur dengan bahan yang lain (pure silk) ataupun sutera yang bercampur dengan bahan yang lain tetapi kadar suteranya lebih banyak daripada bahan yang lain itu.

Ukuran banyak dan sedikit sutera yang dicampur dengan bahan yang lain itu adalah dilihat kepada berat timbangannya. Oleh itu, jika sutera itu bercampur dengan bahan yang lain dan bahan suteranya lebih berat timbangannya berbanding dengan bahan yang lain, maka tidak boleh bagi laki-laki memakainya atau menggunakannya. Jika suteranya lebih ringan timbangannya, maka diharuskan bagi laki-laki memakainya atau menggunakannya. Jika kadar timbangan keduanya (sutera dan bahan yang bercampur dengannya) sama berat, maka mengikut pendapat yang shahih, diharuskan bagi laki-laki memakainya atau menggunakannya. (Al-Majmu‘4/320-323)[/left]

(4) Gambar Dan Lukisan Objek Yang Bernyawa Atau Yang Diharamkan

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang menggunakan kain, selimut, tabir hiasan yang terdapat padanya lukisan gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia, haiwan atau binatang. Akan tetapi, tidak menjadi apa-apa, yakni harus, memakai kain yang terdapat padanya lukisan gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan seumpamanya.

Termasuk juga perkara yang dilarang oleh syara‘, memakai pakaian yang memaparkan apa sahaja jenama minuman keras yang diharamkan oleh syara‘, kerana dengan memakai pakaian tersebut secara tidak langsung ia menandakan bahawa dia redha, menyokong, memberi pertolongan kepada mempromosi minuman tersebut, walaupun dia tidak berniat sedemikian.

Demikian juga, memakai pakaian yang memaparkan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol agama lain seperti salib. Salib termasuk benda-benda yang dipakai khas bagi orang Nashrani.

Menurut pendapat Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin Yahya, bahawa orang Islam yang memakai salib dengan cenderung hatinya pada agama Nashrani atau dia maksudkan menyerupai orang kafir pada cogan-cogan atau adat kufur mereka, maka dia dihukumkan kafir. Dan jika tidak cenderung hatinya pada agama Nashrani dan tidak pula dia maksudkan menyerupai mereka pada cogan-cogan atau adat-adat kufur bagi orang Nashrani, maka dia telah berbuat haram dan dosa. Dan jika dia menyerupai orang Nashrani dalam perkara yang tersebut dengan tidak sengaja atau tidak semena-mena dan tiada maksud sesuatu daripada perkara-perkara yang tersebut, maka tidaklah berdosa tetapi dia telah membuat sesuatu yang makruh.

(5) Patung-Patung

Membuat atau mengukir patung bagi objek yang bernyawa secara lengkap dengan segala anggota tubuh badan serta terdapat baginya jisim dan bayang, sama ada ianya dalam bentuk manusia ataupun binatang, sekalipun patung itu merupakan objek yang tidak pernah wujud atau hanya merupakan hasil ilham pengukirnya, seperti kuda bersayap atau kuda berwajah manusia dan sebagainya adalah merupakan suatu dosa besar.

Perkara ini disandarkan kepada beberapa hadis shahih Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi amaran tentang azab seksa yang akan ditimpakan kepada mereka yang mengukir patung pada Hari Kiamat kelak.

Apabila patung-patung tersebut diletakkan sebagai perhiasan, maknanya ianya diletakkan sebagai sesuatu yang dimuliakan atau ada unsur-unsur penghormatan. Oleh itu, meletakkannya dengan tujuan perhiasan adalah perbuatan yang haram (berdosa).

Sementara itu pula, Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya patung. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya patung-patung atau gambar-gambar (sesuatu yang bernyawa)”

(Hadis riwayat Muslim)

Al-Imam al-Qurtubi menjelaskan, malaikat tidak mahu memasuki rumah yang terdapat di dalamnya patung, kerana pemiliknya menyerupai orang-orang kafir, di mana mereka kebiasaannya meletakkan patung di dalam rumah mereka untuk diagung-agungkan. Dengan itu, malaikat tidak menyukainya dan tidak mahu memasukinya. (Fath Al-Bari 3/2627)

Namun begitu, patung atau mana-mana anggotanya yang dibuat atau diukir untuk tujuan pendidikan atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran, seperti patung untuk tujuan kajian, latihan perubatan atau kedoktoran, atau patung kanak-kanak sebagai mainan bagi kanak-kanak perempuan untuk tujuan pendidikan dan latihan bagi masa depannya sebagai ibu, itu adalah diharuskan dan harus dimiliki serta digunakan, kerana terdapat keperluan (hajat). Tidak kira sama ada ia diperbuat daripada batu, besi, kayu ataupun plastik.

(6) Memakai Cemara

Yang dimaksudkan dengan memakai cemara ialah memakai rambut tambahan, sama ada daripada rambut lain, nilon atau lain-lain yang digunakan untuk membesarkan sanggul. Ia adalah sebahagian daripada cara menghias diri, khususnya bagi perempuan.

Perbuatan orang yang menyambung rambutnya sendiri dengan rambut yang lain atau meminta disambungkan rambutnya hukumnya adalah haram, tidak kira sama ada perempuan ataupun lelaki.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa Allah Subahanahu wa Ta'ala melaknat orang yang melakukannya, bahkan perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin tetap dilarang melakukannya. Ini adalah berdasarkan beberapa hadis shahih, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: “Seorang perempuan Anshar telah berkahwin, dan sesungguhnya dia sakit sehingga gugur rambutnya, kemudian keluarganya bermaksud untuk menyambung rambutnya. Lalu mereka bertanya dulu kepada Nabi, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang meminta disambungkan rambutnya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam satu riwayat yang lain, Asma’ binti Abu Bakar berkata:

Maksudnya: “Seorang perempuan telah bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak saya terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur, dan saya akan mengahwinkannya, apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang disambungkan rambutnya”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Islam tidak pernah menafikan naluri dan keinginan manusia untuk berhias supaya senang dan sedap dipandang. Akan tetapi itu tidak bermakna Islam memberi ruang secara mutlak untuk setiap orang berhias mengikut selera masing-masing tanpa batasan. Batasan yang digariskan oleh syara‘ itu pula bukanlah semata-mata menyekat kemahuan dan selera manusia. Akan tetapi ianya mengandungi hikmat dan tujuan yang lebih tinggi, seperti memelihara kemurnian aqidah, menjauhkan daripada sifat bermegah-megah, sombong, pembaziran, penipuan dan sebagainya. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi kesejahteraan dan kebaikan manusia itu sendiri.

Dalam perkara kesenian pula, seni ukir umpamanya, Islam memandangnya sebagai suatu yang indah, selama mana dalam batas-batas yang dibenarkan atau diharuskan oleh syara‘. Urutan sejarah telah membuktikan berapa banyak patung yang tujuan asalnya untuk menjadi iktibar dan pengajaran akhirnya bertukar kepada pemujaan, paling sedikit ada rasa penghormatan dan pemuliaan terhadap patung-patung itu. Tidak kurang pula berlaku pembaziran kerana harga yang tinggi patung itu.

Wallahualam


Comment

You need to log in to post a comment. If you don't have an account yet, register now!
Your rating: 0
no rating