Continue to Netlog

more seconds
pureguy63's profile page

pureguy63

male - 50 years
3 734 visitors

Blog / DERHAKA KEPADA IBU BAPA MENEMPA KEMURKAAN ALLAH

Tuesday, 8 July 2008 at 01:30

DERHAKA KEPADA IBU BAPA MENEMPA KEMURKAAN ALLAH

Dalam jalur hubungan secara mendatar di antara sesama manusia, dari segi tertib dan prioriti, hubungan dengan ibu bapa mempunyai martabat yang khusus dan tinggi. Bagi anak, dia hendaklah meletakkan pada kedudukan yang tinggi dan istimewa martabat kemuliaan ibu bapa dan wajib mendahulukan mereka sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah Ta‘ala dan RasulNya. Kemuliaan dan ketinggian martabat ibu bapa itu bukan diangkat oleh siapa-siapa tetapi diangkat dan dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa ta'ala, sehinggakan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa.”

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Sebab apa Allah mengangkat martabat ibu bapa? Kerana ibu dan bapa sangat besar jasanya kepada kita. Tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu dan bapa. Dengan susah payah ibu kita mengandungkan dan melahirkan. Kemudian ibu bapa kita mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih sayang.

Oleh itu, dalam membina hubungan sesama manusia, ibu bapa mestilah mendapat keutamaan lebih daripada orang lain. Sangat ganjil rasanya jika seseorang mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain seperti kawan-kawan di pejabat, di sekolah dan sebagainya, akan tetapi hubungan dengan ibu bapa sendiri diabaikan, apatah lagi jika diderhakai.

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, akan tetapi ianya merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa, dan hukumnya adalah fardhu ‘ain. Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ‘ain maka setiap orang wajib berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada keduanya itu bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk melakukannya. Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara‘, di antaranya sebagaimana terkandung di dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah Al-Israa’, ayat 23-24)

Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman yang tafsirnya :

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

(Surah Al-Ahqaf, ayat 15)

Sementara dalil-dalil yang terdiri daripada hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang menegaskan tentang perkara ini, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin ‘Al-‘Ash, beliau berkata yang maksudnya :

“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadits di atas memberi petunjuk hukum bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad pada jalan Allah, kerana berjihad pada jalan Allah itu merupakan tuntutan fardhu kifayah (apabila sebahagian orang melakukannya maka gugurlah tuntutan kepada sebahagian yang lain), sedangkan berbuat baik dengan kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ‘ain, di mana setiap orang mesti melakukannya. Fardhu ‘ain lebih kuat atau lebih tegas tuntutannya berbanding fardhu kifayah. Oleh itu wajib bagi setiap orang berbuat ihsan kepada kedua ibu bapanya.

Bagaimana caranya berbuat baik itu?

Berbuat baik yang terkandung di dalam tuntutan ayat di atas mengandungi erti yang luas, meliputi apa saja perbuatan yang disebut baik, sama ada berupa perkataan, amal perbuatan, pandangan dan sebagainya. Melalui ayat di atas (Surah Al-Israa’, ayat 23-24) dicontohkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu misalnya berkata dengan sopan santun, hormat, tidak menengking, merendahkan diri dengan kasih sayang dan mendoakan keduanya mudah-mudahan keduanya sentiasa dirahmati, dikasihi sebagaimana mereka mengasihi kita semasa kita masih kecil.

Dugaan yang berat yang sering dialami oleh anak ialah apabila ibu bapanya sudah terlalu tua dan tidak pandai menguruskan dirinya sendiri lagi. Dalam keadaan begini sianak perlu bersabar melayani kerenah mereka, jangan mudah melenting dan memarahi mereka, kerana yang demikian itu akan menyakitkan hati mereka. Apabila hati mereka terguris bermakna sianak sudah derhaka kepada mereka.

Salah satu di antara tanda-tanda di mana anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah mengakibatkan kedua mereka menangis, umpamanya melukai hati mereka sehingga menyebabkan mereka menangis. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya :

“Menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-Adab Al-Mufrad)

Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Yang dikehendaki dengan berbuat baik kepada keduanya hendaklah bersikap ramah dan lemah lembut, jangan menjawab dengan kasar, jangan memandang keduanya dengan pandangan yang tajam dan jangan meninggikan suara ke atas mereka.

Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa Yang Telah Meninggal

Berbuat baik kepada ibu bapa bukan setakat berbuat baik sewaktu mereka masih hidup, malahan mestilah berterusan walaupun mereka sudah meninggal dunia. Sifat anak yang salih, anak yang ta‘at kepada kedua ibu bapa tidak akan mudah luput dari dirinya kenangan jasa ibu bapanya. Dia akan tetap berbakti dan membalas jasa mereka sedaya mungkin walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Berbagai cara boleh dibuat untuk mencurahkan bakti dan ihsan kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia, di antaranya ialah:

1) Menyempurnakan urusan jenazah mereka dengan sebaiknya menurut tuntutan syara‘ bermula daripada memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan sehinggalah sempurna mereka disemadikan. Anak perlu turut serta dalam hal ehwal urusan jenazah ibu bapanya. Bukan setakat mengharapkan orang lain untuk menyempurnakannya. Agak malang anak itu jika tidak dapat atau tidak mahu ikut serta menyempurnakan jenazah ibu bapanya.

2) Berdoa untuk arwah ibu bapa dengan memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahu wa ta'ala. Misalnya dengan berdoa:

Maksudnya: “Tuhanku! ampunilah aku dan kedua ibu bapaku serta kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mengasihani aku semasa aku masih kecil.”

Hukum Taat Kepada Ibu Bapa Yang Bukan Islam

Sebagaimana yang dijelaskan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa itu merupakan fardhu ‘ain. Maknanya, wajib setiap orang berbuat ihsan kepada mereka. Dan kewajipan ini tidak tertentu kepada ibu bapa yang berugama Islam sahaja. Malahan bagi sesiapa yang ibu atau bapanya, atau kedua-duanya bukan berugama Islam juga diwajibkan taat dan berbuat baik kepada mereka, selama mana mereka tidak menyuruh anaknya untuk berlaku syirik (menyekutukan Allah) atau melakukan maksiat yakni perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah dan laranganNya.

Perkara ini jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahanah, ayat 8)

Selain itu hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam juga menjelaskan mengenai perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anhuma, beliau menceritakan yang maksudnya :

“Pada zaman Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, aku berkata: “(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Ya, tetaplah meneruskan hubungan dengan ibumu.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka berdasarkan dalil-dalil ini, anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, sianak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka. Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan.

Dosa Orang Yang Derhaka Kepada Kedua Ibu Bapa

Jika berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ‘ain maka perbuatan mengabaikan tuntutan itu pula termasuk di antara dosa besar. Terdapat beberapa jumlah dalil syara‘ yang menegaskan mengenainya dengan jelas dan nyata. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata yang maksudnya:

“Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?” Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Mensyirikkan Allah.” Dia (orang Arab itu) berkata lagi: “Kemudian apa?”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Kemudian menderhaka kedua ibu bapa …”

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Di dalam riwayat yang lain dijelaskan bahawa orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa itu tidak akan masuk syurga, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Tidak masuk syurga orang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang gemar minum minuman keras.”

(Hadits riwayat Imam Ahmad)

Di dalam riwayat yang lain lagi dinyatakan bahawa orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan mendapat perlindungan pada hari kiamat. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada hari kiamat: orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang meyerupai seperti laki-laki dan orang yang dayus…”

(Hadits riwayat An-Nasa’ie)

Ini adalah kerana mendoakan ibu bapa itu merupakan di antara ciri-ciri anak yang salih dan dengan mendoakan mereka dengan keampunan akan memberi manfaat kepada mereka semasa di alam barzakh. Apa lagi yang mereka harapkan selepas meninggalkan dunia? Tidak lain yang dapat membantu mereka kecuali doa anak-anak yang mewarisi mereka. Sabda Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam yang maksudnya :

“Apabila seorang manusia mati terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga: Melainkan sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang salih yang mendoakan untuknya.”

(Hadits riwayat Muslim)

Darjat ibu bapa pada hari kiamat akan terangkat di sisi Allah Ta‘ala disebabkan doa seorang anak yang memintakan ampun atas dosa-dosa mereka. Hal ini telah diterangkan melalui apa yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari manakah semua ini?” Maka dikatakan kepadanya: “Dari anakmu yang memintakan ampun untukmu.”

(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Namun perlu diingat, jika sekiranya ibu bapa yang meninggal itu terdiri daripada orang bukan Islam maka adalah dilarang untuk mendoakan keampunan bagi mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

(Surah At-Taubah, ayat 113)

3) Melaksanakan atau menyempurnakan janji atau wasiat yang telah dibuat oleh arwah ibu bapa semasa mereka hidup.

4) Memuliakan orang-orang yang dahulunya menjadi sahabat karib atau teman arwah ibu bapa. Diriwayatkan di dalam hadits shahih daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya :

“Aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya termasuk perbuatan paling baik ialah seseorang yang meneruskan silaturrahim (hubungan baik) dengan sahabat baik ayahnya sesudah ayahnya meninggal dunia.”

(Hadits riwayat Muslim)

Cara berbuat baik kepada kedua ibu bapa seperti yang tersebut di atas merupakan petunjuk yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Perkara ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Usaid Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya :

“Ketika kami di sisi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam datang seorang laki-laki dari kaum Bani Salamah, lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah! Masih adakah sesuatu kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk kedua ibu bapa saya sesudah keduanya meninggal dunia? Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Ya, (iaitu): mengerjakan sembahyang ke atas keduanya, memohon keampunan bagi keduanya, melaksanakan janji keduanya sesudah (meninggal) keduanya, menghubungkan tali silaturrahim yang terhubung kecuali kerana jasa keduanya dan memuliakan teman-teman keduanya.”

(Hadits riwayat Abu Daud)

5) Menziarahi kubur mereka. Menziarah kubur merupakan perkara yang disunatkan mengikut hukum syara‘ khususnya bagi kaum laki-laki. Apatah lagi menziarahi kubur kedua orang tua kita. Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pergi menziarahi pusara ibu Baginda, sungguhpun ibu Baginda itu tidak sempat beriman dengan agama Islam. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya :

“Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menziarahi kubur ibu Baginda, lalu Baginda menangis dan membuat orang-orang disekitar Baginda menangis. Kemudian Baginda bersabda: “Aku minta izin kepada Tuhanku Yang Maha Mulia dan Maha Agung untuk menziarahi kuburnya (ibu Baginda), lalu Allah mengizinkanku. Aku minta izin kepadaNya untuk minta ampun baginya, akan tetapi tidak diizinkanNya. Oleh itu, ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kepada mati.”

(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, Al-Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan bahawa harus hukumnya menziarahi orang-orang bukan Islam semasa hidup mereka dan kubur-kubur mereka selepas mereka mati.

Oleh itu, bagi orang yang mempunyai kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka tidak berugama Islam tidak ada tegahan ke atasnya untuk menziarahi pusara ibu bapanya yang tidak berugama Islam itu. Sekadar menziarahi tidak menjadi kesalahan dari segi syara‘, akan tetapi jangan sampai mendoakan bagi mereka keampunan, kerana Allah melarang orang Islam mendoakan keampunan bagi orang bukan Islam.

Pengajaran Dari Kisah ‘Alqamah

Satu kisah yang berlaku pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang dialami oleh seorang sahabat yang bernama ‘Alqamah.

‘Alqamah tergolong daripada salah seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang taat dan rajin beribadat; mendirikan sembahyang, berpuasa dan bersedekah. Namun pada saat kematiannya ‘Alqamah sangat menderita. Begitu sulit dia hendak menghadap Allah Ta‘ala. Mulutnya seperti terkunci untuk mengucapkan kalimah tauhid sungguhpun setelah ditalqin yakni diajarkan oleh para sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang lainnya.

Peristiwa ini dikhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah mendengar khabar berita ini Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya apakah dia mempunyai kedua ibu bapa yang masih hidup? Dijawab pertanyaan Baginda itu: “Wahai Rasulullah! ‘Alqamah mempunyai seorang ibu yang sudah tua.”

Kamudian Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam mengutus seseorang untuk pergi berjumpa ibu ‘Alqamah dan menyampaikan pesan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjemputnya datang berjumpa Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam jika ibunya itu mampu untuk berjalan, jika tidak mampu berjalan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri akan datang berjumpa dengannya.

Apabila pesan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam disampaikan kepada ibu ‘Alqamah, diapun sanggup untuk datang berjumpa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah tiba, diapun memberi salam dan dijawab oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam, lalu Baginda bertanya: “Apakah gerangan keadaan ‘Alqamah anakmu ini?” Ibunya menjawab: “Dia seorang yang banyak bersembahyang, banyak berpuasa dan banyak bersedekah.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya lagi: “Bagaimana pula keadaanmu?” Ibu ‘Alqamah menjawab: “Aku marah kepadanya wahai Rasulullah!” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam terus bertanya: “Kenapa pula?” Siibu menjawab: “Dia (‘Alqamah) lebih mengutamakan isterinya daripada aku dan menderhakai aku.”

Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: “Sesungguhnya kemurkaan ibu ‘Alqamah telah mengunci lidah ‘Alqamah lantas dia tidak dapat mengucapkan syhadah.” Kemudian Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan Bilal Radhiallahu ‘anhu mengumpulkan kayu api sebanyaknya. Siibu bertanya: “Wahai Rasulullah! Tuan hendak buat apa dengan kayu api yang banyak ini?” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Aku akan bakar ‘Alqamah dengan api.”

Maka pada saat itulah, cinta seorang ibu yang telah lama terkubur dalam hatinya mulai hidup dan bersemi lagi. Siibu berkata: “Wahai Rasulullah! ‘Alqamah anak saya, aku tidak sanggup melihat anakku sendiri dibakar di hadapanku.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Wahai ibu ‘Alqamah! Azab Allah lebih pedih dan lebih lama. Jika engkau mahu Allah Mengampunkannya, engkau redhailah dia, engkau maafkanlah dia. Demi diriku berada di dalam kekuasaanNya, segala sembahyang yang dikerjakan oleh ‘Alqamah, puasanya dan sedekahnya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepadanya selagi engkau tidak redha kepadanya.” Ibu ‘Alqamah pun berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku naik saksi di hadapan Allah, para MalaikatNya dan orang-orang Islam yang hadir ini bahawa aku redha akan anakku ‘Alqamah.”

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan Bilal Radhiallahu ‘anhu pergi melihat ‘Alqamah apakah dia sudah boleh mengucapkan kalimah tauhid ataupun tidak? Mungkin ibu ‘Alqamah hanya bercakap begitu hanya dibibir saja tetapi tidak sepenuh hati, kerana menjaga hati Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Lalu Bilal pun pergi melihat ‘Alqamah, dan dilihatnya ‘Alqamah sudah boleh mengucapkan kalimah tauhid. Selepas itu ‘Alqamah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang.

Setelah selesai mayat ‘Alqamah disempurnakan, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam berdiri di tepi kubur ‘Alqamah dan bersabda: “Wahai sekalian orang-orang Muhajirin dan Anshar! sesiapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya, maka wajib ke atasnya laknat Allah, para Malaikat dan sekalian manusia. Allah tidak akan menerima segala amalannya, sama ada yang sunat ataupun yang fardhu melainkan setelah dia bertaubat kepada Allah Ta‘ala, berbuat baik kepada ibunya dan mencari keredhaannya, maka redha Allah ‘Azza wa Jalla terletak pada redha ibunya dan kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan ibunya.”

Iktibar atau pengajaran yang dapat diambil dari kisah yang berlaku kepada ‘Alqamah di atas di antaranya ialah:

1) Memang benar syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam ketika seorang sahabat Baginda meminta izin untuk ikut berperang. Tetapi sebelum itu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepadanya apakah dia masih mempunyai ibu? Dia menjawab: “Ya”. Lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan dengan bersabda yang maksudnya :

“Jaga baik-baik ibumu, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah dua kaki ibu.”

(Hadits riwayat An-Nasa’ie dan Ahmad)

‘Alqamah seorang sahabat Nabi yang taat dan baik, tetapi disebabkan kedurhakaannya kepada ibunya semua amalannya menjadi sia-sia. Dia diseksa oleh Allah menjelang kematiannya, mulutnya terkunci dan tidak dapat mengucapkan kalimat tauhid .Kalaulah dia meninggal dalam keadaan begini tentulah dia akan mati dalam kesudahan yang tidak baik. Setelah ibunya memaafkan kesalahannya barulah dia dapat mengucapkan kalimah tauhid dan meninggal dengan tenang.

2) Kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapa mestilah menjadi keutamaan yang paling atas selepas kewajipan untuk taat kepada Allah dan RasulNya. Ia tidak boleh diatasi oleh kepentingan orang lain seperti isteri, anak-anak, kawan-kawan dan sebagainya.

‘Alqamah berbuat yang sebaliknya. Dia mengutamakan kepentingan isterinya daripada kepentingan ibunya sendiri. Inilah kederhakaan yang mendatangkan seksa kepada dirinya.

3) Memang benar redha Allah itu terletak pada redha kedua ibu bapa dan murka Allah terletak pada murka kedua ibu bapa.

Maka dengan sebab itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak dapat berbuat apa-apa terhadap penderitaan yang menimpa ‘Alqamah, dan hanya redha ibunya sahaja yang dapat mengatasinya.

Sebagai suatu rumusan, memang tabiat semulajadi manusia untuk menyayangi zuriat mereka. Sebab itu ibu bapa tidak akan mudah luntur kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Mereka akan mengorbankan apa saja yang termampu demi anak-anak. Akan tetapi di sebelah pihak anak-anak pula, mereka cepat lupa akan kasih sayang dan pengorbanan kedua ibu bapa. Mungkin inilah di antara hikmatnya Allah Subhanahu wa ta'ala memperuntukkan di dalam Al-Qur’an secara tegas akan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa supaya anak tidak mudah mengabaikan kewajipannya kepada kedua ibu bapa. Sebaliknya di pihak ibu bapa pula tidak lagi perlu diperingatkan untuk sentiasa menyayangi anak-anak mereka, kerana sifat semulajadi sudah cukup untuk mendorong mereka berbuat demikian.

Sebagai renungan kita perhatikan sebuah hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Berbuat baiklah kepada bapa-bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu.”

(Hadits riwayat Ath-Thabarani dengan sanad yang baik)


Comments 1

You need to log in to post a comment. If you don't have an account yet, register now!

  • 33

    Nurul_aien 8 July 2008

    mudah2an ibu bapaku mengampunkan segala dosa dan kesilapan yang telah aku lakukan.....


  • 47

    ct_siti 8 July 2008

    hehehe....tq......hat ni ambik gak....insyaAllah apa u buat kat sini ...cheq bawa pi meghata aih.....teruskan dgn kerja yang baik ini......ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkan dan diamalkan ...itu lah salah satu bekal kita ......teringin nak buat mcmni ...tapi tak kesampaian......dok ghalit nak baca ja......hehehe.....bukan semua orang leh jadi mcm ni...hanya yang terpilih sahaja.......buka dipilih oleh rakyat tapi di pilih oleh Allah Taala......tahniah!

Your rating: 0
no rating